Hari pertama Indah sebagai pembantu pribadi bermula dengan penuh rasa gementar. Selepas Sarah menunjukkan meja pejabat Indah yang di hadapan bilik Tengku Razin, Sarah menerangkan tugas satu per satu, dari menyusun jadual mesyuarat, menjawab panggilan, hinggalah menyediakan kopi hitam tanpa gula yang kononnya hanya Tengku Razin saja yang tahu rasa betulnya.
Indah mengangguk berkali-kali, cuba hadam semuanya. "Kalau dia tanya apa-apa, jangan gugup. Tengku suka orang tenang," pesan Sarah, separuh berbisik sebelum berlalu.
Beberapa minit kemudian, pintu kaca pejabat besar itu terbuka. Langkah Razin kedengaran, tegas, yakin, dan penuh aura. Semua pekerja berdiri seketika menyapa hormat. Indah cepat-cepat tunduk, cuba menundukkan pandangan. Tapi suara garau itu tetap membuat jantungnya bergetar.
“Selamat pagi.”
Nada Razin tenang, tapi tegas. Dia berhenti sejenak di meja Indah, memerhati fail yang tersusun rapi.
“Kemaskan meja ni. Jangan banyak barang. Saya tak suka serabut.”
Indah terperanjat sedikit, tapi cepat mengangguk. “Baik, Encik Razin.”
Dia menarik nafas perlahan selepas lelaki itu masuk ke biliknya. “Ya Allah, awal-awal dah kena tegur...” bisiknya dalam hati.
Sepanjang pagi, Indah cuba fokus dengan kerja barunya, menaip surat rasmi, menjawab panggilan, dan memastikan setiap fail berada di tempatnya. Tapi setiap kali pintu bilik Razin terbuka, dia akan kaku.
Menjelang tengah hari, Sarah datang menepuk bahu. “Good job, Indah. Dia tak marah pun lagi hari ni. Itu dah kira keajaiban.”
Indah hanya ketawa kecil. “Saya cuba buat yang terbaik.”
Namun, saat Razin keluar dari bilik dengan telefon di tangan, matanya sempat bertaut dengan Indah. Sekilas cuma, tapi cukup untuk membuat debarannya kembali.
“Indah, ikut saya. Kita ada mesyuarat luar.” Nada itu tak memberi ruang untuk menolak.
Indah cepat-cepat mencapai buku nota dan pen. “Baik, Encik Razin.”
Dalam kereta, suasana senyap. Bunyi penghawa dingin memenuhi ruang. Indah cuba menenangkan diri, memandang ke luar tingkap — jalan-jalan KL yang sibuk, bangunan tinggi bersinar di bawah mentari.
“Awak baru kerja sehari, tapi nampak tekun,” suara Razin tiba-tiba memecah sunyi.
Indah menoleh perlahan. “Saya cuba buat yang terbaik, Encik.”
Razin mengangguk sedikit, matanya masih di jalan. “Jangan cuma cuba. Buat betul-betul. Saya tak suka orang separuh hati.”
Indah menggenggam buku notanya erat. “Faham, Encik.”