Ujian

1001 Words
"Mad!!! Tekan brek kuat-kuat!!" Ramesh menjerit cemas. Semua riak wajah berkerut kerisauan menanti apa sebenarnya yang berlaku. "Alhamdulillah!", Ahmad menzahirkan kesyukuran, kereta dapat diberhentikan di bahu jalan. Situasi sedikit cemas. "Korang berdua, duduk dalam kereta dulu. Biar kitorang lelaki keluar tengok, apa yang berlaku". Arah Chong kepada Arissa dan Ching dengan muka sedikit serius. Ketiga-ketiga jejaka keluar dari kereta untuk memeriksa. "Weh, asap apa kat depan tu?", tanya Ahmad sambil menggaru kepala. Mereka bertiga pergi ke arah depan kereta. Rupa-rupanya tayar kereta pancit. "Patutlah kereta aku ke kanan, ke kiri tadi, tayar pancit rupanya. Aduh", keluh Ahmad yang kehairanan kerana dia sudah memeriksa semua tayar, sehari sebelum mereka memulakan perjalanan. "Bunga dan angin tayar juga masih dalam keadaan baik ni. Pelik betul", Ahmad bermonolog. Ramesh yang mahir mengenai kereta cuba memeriksa. Setelah dicari sekeliling tayar, rupa-rupanya tayar kereta terkena paku panjang berukuran tiga inci. "Mana datang paku besar macam ni tengah-tengah jalan, pelik betul. Tak kan ada orang buat rumah kot kat sini", Ramesh bisik sendirian kehairanan. "Macamana ni, kita dah la kat tengah-tengah highway ni', Chong mengeluh panjang. "Sabar-sabar, kita tukar tayar spare dulu. Biar aku buat, mudah je ni. Korang tolong ambil-ambil alatan kat dalam bonet kereta". Kata Ramesh yang seperti biasa, seorang yang matang dan tenang berbanding yang lain. Hari semakin panas, terlihat burung-burung berterbangan di langit biru, berterbangan mencari makanan . Matahari makin menegak di atas kepala. Jam di tangan Ahmad menunjukkan tepat pukul 12:07 tengah hari. "Korang turun dulu, bagi kereta ringan sikit", Chong meminta Arissa dan Ching keluar dahulu sebelum mereka menukar tayar lain. Riak wajah kedua-duanya masih kerisauan. Maklumlah di tengah-tengah lebuh raya, kiri kanan hutan dan kelapa sawit yang tumbuh menghijau. "Rileklah, nanti okay ni. Ramesh buat sekejap je", Ahmad cuba menenangkan mereka. Walaupun dia seorang yang gemar menyakat Arissa, tetapi ada masanya Ahmad bertindak seperti seorang lelaki matang. "Kau jangan nak buat-buat macho macam Batman la Mad. Kitorang steady je ni", Arissa membalas ayat matang Ahmad dengan sindiran. Mendengar itu, sahabat yang lain ketawa sederhana. "Hahahaha, yelah, lepas ni aku jadi Superman pulak. Bukan Batman", gurau Ahmad untuk menghilangkan kegusaran mereka pada waktu itu. Kelima-kelima mereka terlihat lebih tenang berbanding sebentar tadi. Riak wajah gusar juga bertukar kepada senyuman. Setelah dua puluh minit, dalam gelak tawa, akhirnya mereka berjaya menukar tayar. Untungnya, tayar yang ditukar bukan tayar ganti yang biasa. Tetapi saiz dan rimnya sama dengan tayar asal. "Fuh!, lega. Tak payah berhenti bengkel dah nanti. Aku fikir tayar spare biasa je, rupanya sama dengan yang asal. Tayar pun elok je. Mungkin ayah kau dah check dulu Ahmad", ucap Ramesh dengan muka penuh kelegaan sambil menghulurkan spana dan jek kereta kepada Chong. Kalau tayar ganti biasa, mereka terpaksa berhenti ke bengkel berhampiran kerana tayar ganti bukannya dicipta untuk perjalanan jauh. "Nah, minum dulu. Jomlah kita sambung perjalanan, sampai awal lagi bagus", ajak Ahmad sambil menghulur air mineral Spritzer kepada sahabatnya yang keletihan. Selesai semuanya, mereka memulakan perjalanan semula. Ahmad menghidupkan enjin dan berlalu dari situ. "Kalau letih bagitahu aku Ahmad, aku tolong drive pula", Ramesh bersuara dari tempat duduk belakang. "Baik-baik, aku okay lagi ni walaupun co-pilot dah kecundang", jawab Ahmad. Chong, Arissa dan Ching sudah terlelap dan nyenyak ke alam mimpi. Sudah 3 jam lebih perjalalan. Mungkin mereka sudah keletihan dan mengantuk yang teramat sangat. Bilangan bar minyak sudah tinggal dua bar sahaja. Ahmad mencari-cari stesen minyak berhampiran sebelum mereka meneruskan perjalanan lagi. Ahmad tak mahu perjalanan ini terhenti lagi. Cukuplah dengan tayar pancit sahaja. "Depan sana ada stesen minyak, aku dah Google ni Ahmad", Ramesh bersuara seakan memahami. "Kau ada kuasa telepathy ke Ramesh? Tahu-tahu je aku tengah cari stesen minyak. Hahaha", Ahmad menyahut. Mendengar gelak Ramesh dan Ahmad, ketiga-tiga sahabat yang lain terbangun dari lena mereka. "Ni macam kat Kuantan je", Ching yang sudah biasa ke kawasan itu untuk melawat saudaranya seakan mengenali kawasan sekeliling. "A'aa, Kuantan la ni Ching, dah hampir 3 jam korang tidur. Aku nak berhenti stesen minyak depan sana, siapa-siapa yang nak turun ke tandas ke beli apa-apa ke, pergi dulu sementara aku isi minyak", Ahmad memberi informasi kepada sahabatnya yang lain. Sebelum berhenti ke stesen minyak, Ramesh, Chong, Arissa dan Ching menghulurkan RM20 seorang kepada Ahmad untuk dia mengisi minyak. Begitulah tabiat mereka sejak dahulu jika menaiki kereta orang lain. "Terima kasih daun keladi, aku ingat korang dah lupa tadi", Ahmad berseloroh. "Lepas ni kau bawa kereta pula boleh ke Ramesh?, aku nak lelap sekejap. Letih pula rasanya ni", Ahmad meminta simpati Ramesh untuk menukar pemandu. Ramesh yang sudah mempelawa tadi memang tidak keberatan menggantikan Ahmad yang jelas nampak keletihan di riak wajahnya itu. Tangg! Nozem pam minyak tertendang. Menunjukkan minyak sudah diisi penuh. Chong menggantikan tempat Ramesh, Ahmad pula duduk di tempat duduk penumpang hadapan. Kelihatan pintu terbuka, Arissa dan Ching baru sahaja keluar dari kedai serbaneka stesen minyak sambil membawa tiga plastik makanan dan minuman. "Kau beli apa tu, banyak bebenor aku tengok. Dah macam tak makan setahun", Ahmad menjerit memerli Arissa melalui tingkap keretanya. Memang begitulah sikapnya yang tidak tahu malu. Muka Arissa merah padam kerana mendengar teriakan Ahmad dari jauh itu. Orang ramai yang berada di situ seakan tertumpu ke arah Arissa yang sedang membawa tiga plastik itu. "Aku pukul juga Mamat ni nanti!", Arissa memberitahu Ching di sebelahnya. Ching tersenyum melihat gelagat dua sahabatnya ini. Ahmad yang dikejauhan tertawa lepas kerana sudah tahu Arissa pasti memarahinya nanti. Perjalanan diteruskan, kini dikemudi pula oleh Ramesh sebagai pemandu. Suasana di dalam kereta masih lagi meriah dan penuh gelak tawa kerana mendengar bebelan Arissa yang seakan tiada penamat kerana tingkah Ahmad di stesen minyak tadi. Akhirnya, mereka semua kepenatan. Seorang demi seorang melelapkan mata untuk tidur. Ahmad juga kelihatan seperti ingin tidur dek kerana kepenatan memandu selama tiga jam. Matanya terpejam.... Ahmad....Ahmad....Oooo..Ahmad... Suara halus sayup-sayup kedengaran... Datang sini....Datang sini Ahmad....Bantu kami... Suara semakin jelas dan kedengarannya seperti di dalam situasi cemas dan menyedihkan... Suara seperti lelaki dan perempuan tua serentak sedang memanggilnya. "Siapa tu! Siapa tu memanggil aku! Aku tak kenal kau! Keluarlah, macamana kau tahu nama aku!", Ahmad menjerit kegelisahan.
Free reading for new users
Scan code to download app
Facebookexpand_more
  • author-avatar
    Writer
  • chap_listContents
  • likeADD