Pertemuan Melunak
Pada suatu petang yang hening, di sebuah sawah hijau jauh terbentang terdapat seorang pemuda sedang berbaring di atas sebuah pondok usang. Sedang asyik menonton video 2021 Goal Highlight di YouTube, Ahmad ternampak satu video berjudul "Pohon Gergasi di Tasik Malaysia!". Ahmad yang ketika itu sedang asyik dengan video bola, lantas terus beralih ke video pohon gergasi itu. "Betul ke ada pohon gergasi di Malaysia?", bisik Ahmad di dalam benaknya. Setelah menonton video berdurasi 5 minit itu, dia juga tertarik untuk menawan juga pohon yang telah ditonton itu. "Wow! 25 pelukan orang dewasa. Betullah ni besar gergasi! Kalau lari keliling pun letih ni", seloroh Ahmad berseorangan. Dia mendapat idea untuk pergi sendiri dan memegang pokok gergasi itu secara bersemuka. Jauh di sudut fikirannya, dia ingin mengajak sahabat-sahabat lamanya yang sudah dua tahun tidak bertemu. Dia ingin sekali menakluk pokok Melunak itu!
Setelah melakukan sedikit pencarian di Google, Ahmad mendapat info bahawa Melunak atau nama spesifiknya Pentace merupakan tumbuhan di dalam kumpulan Malvaceae sensu lato atau Tiliaceae. Pohon ini dikatakan sudah berusia lebih dari 340 tahun dan tingginya melebihi 100 meter! Dia terus membaca info-info lain berkaitan. Di wajahnya jelas terpancar semangat berkobarnya yang ingin menemui sendiri Melunak tersebut. Dia sudah tidak mampu menahan lagi. Dicapai telefon pintarnya lantas membuka kumpulan w******p diberi nama "5". 5, ya itu sahaja nama kumpulan w******p itu. Sesuai dengan ahli kumpulan itu yang hanya ada lima ahli. Sudah lama sekali kumpulan itu kesepian dan tiada apa-apa info. Sepi bagai gua tidak berpenghuni. Mungkin dek kerana semua sudah sibuk dengan kerjaya masing-masing. Maklumlah semua sudah menamatkan pengajian di peringkat universiti. Maka bermulalah pula alam pekerjaan. Alam yang penuh onak dan duri. Itulah realiti kehidupan.
Knock, knock,knock. Brrrrrrr. SMS!. Kring. Kring. Kring. Telefon milik Chong, Ramesh, Arissa dan Ching berbunyi. Rupa-rupanya mereka mendapat chat daripada kumpulan w******p "5". Semua terperanjat. Maklumlah, sudah lama sekali kumpulan itu tidak dihantar sebarang chat. Sepi. Terus dibuka isi kandungan chat tersebut. Masing-masing fokus membaca. "Geng! Minggu depan korang free tak? Aku ada plan ni. Jom kita pergi Tasik Kenyir. Lama dah kita tak jumpa kan". Rupa-rupanya, Ahmad yang menghantar chat mengajak mereka bercuti. Satu link video juga dihantar, Video yang Ahmad baru tonton sebentar tadi. Video pokok Melunak. Mereka semua menonton video itu dengan fokus sekali. Riak muka sahabat-sahabatnya nampak tertarik dengan video yang dihantar Ahmad itu. "Nanti 2, 3 hari lagi aku beritahu balik. Aku kena tanya bos dulu, dapat cuti ke tak". Balas Chong yang kini bekerja sebagai pembantu makmal di sebuah kilang makanan kesihatan di Johor Bahru. Yang lain hanya membalas, "Samalah, nanti aku update balik". Ahmad mendapat respon positif, dia terus menunggu hari-hari mendatang.
Dua hari berlalu. Ahmad yang ketika itu sedang menarik kerbau masih menanti chat daripada sahabat-sahabatnya. "Lama juga ya nak dapat kelulusan cuti ni. Tengok aku, nak cuti bila-bila pun boleh. Hahahaha". Gelak Ahmad sendirian sambil memandang wajah kerbaunya. Mooooo... Balas Roi, kerbau milik Ahmad seakan memahami. Ahmad tergelak panjang. Sedang asyik bergurau dengan kerbaunya, tiba-tiba telefonnya berbunyi. Satu persatu chat ke kumpulan 5 masuk. Semua mendapat kelulusan untuk cuti! Kecuali Ramesh. "Sorry geng, aku tak dapat ikut kali ni. Kena jaga bengkel ayah aku pula. Ayah dan mak aku nak pergi kat adik aku, konvokesyen di Johor. Sorry sekali lagi geng". Kata Ramesh melalui w******p miliknya. Ahmad sedikit kecewa. Dia ingin sekali kesemua ahli 5 bertemu kembali dan berkongsi suka duka hidup sekarang. Tetapi berita baiknya, semua sahabatnya yang lain masih lagi dapat mengikuti penjelajahan singkat ini! "Tak apa Ramesh, nanti kita rancang lagi lain kali", kata Ching yang juga ahli kumpulan 5. Sahabat yang lain juga memahami situasi Ramesh itu dan memberi respon baik. Maklumlah Ramesh bekerja dengan ayahnya sebagai pomen kereta di bengkel milik keluarga mereka. Jika bukan dia, siapa lagi yang diharapkan oleh ayahnya untuk mengurus bengkel. Anak sulung dan satu-satunya anak lelaki di dalam keluarganya.
Setelah berbincang dengan penuh bersemangat dan berkobar-kobar seperti ingin menempuh perang dunia ketiga, akhirnya mereka mendapat kata putus, mereka bersetuju dan telah menetapkan di mana ingin berjumpa dan masa yang sesuai. Mereka merancang akan berkumpul di rumah Ahmad terlebih dahulu dan menaiki keretanya untuk ke Tasik Kenyir, Terengganu. Minggu depan, hari Sabtu jam 9 pagi maka akan bermulalah pengembaraan mereka menemui Melunak! Rumah Ahmad adalah permulaan jelajah ini. Semua seperti sudah tidak sabar lagi untuk memulakan pengembaraan ini.
Akhirnya, kumpulan 5 meriah kembali. Dulunya sunyi seperti Gua Kelam, kini meriah seperti Pasar Payang. Setiap hari ada sahaja perbincangan. Ada yang bertanya, nak bawa apa. Apa yang perlu untuk masuk hutan. Kasut jenis apa, baju berapa helai. Maklumlah dah lama tak masuk hutan katanya. Kali terakhir mungkin berkhemah di padang sekolah sebagai pengakap. Ada juga sedikit sebanyak asas perkhemahan.
"Agak-agak ada pacat tak kat sana? Aku takutlah. Eiiii..", tanya Arissa menggunakan pesanan suara w******p. Arissa merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik. Paling manja dalam kalangan lima orang ini dan sedikit penakut berbanding yang lain . "Bukan setakat pacat. Lintah, lipan gergasi pun ada! Hehehe", Ahmad cuba mengusik Arissa. Memang sejak dari zaman sekolah lagi, Ahmad suka menyakat Arissa. Dia suka melihat Arissa memberi respon apabila diusik, kadang-kadang sehingga melatah. Lalu mereka pun gelak beramai-ramai melihat reaksi Arissa. Tetapi, itulah yang merapatkan persahabatan mereka sehingga sekarang.
Arissa pada masa ini bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Perwatakannya yang lembut dan suka bercakap itu memang membantunya untuk mendapat pekerjaan itu. Diberi satu topik, maka dihurainya bagai tiada penghujung. Jika ingin berjalan jauh, amatlah sesuai sebagai peneman dan penghilang kesunyian. Itulah sedikit gambaran perwatakan Arissa.
Sehari dan sehari terus berlalu. Maka tibalah hari yang dinanti-nantikan oleh semua ahli 5 kecuali Ramesh yang tidak dapat mengikuti percutian ini. "Kau jaga diri ya, aku pergi sekejap sahaja ini. Jangan sedih-sedih. Makan, jangan tak makan nanti kurus kering pula, tak ada kerbau betina nak kat kau". Pesan Ahmad kepada Roi. Roi hanya menjeling dan teruskan memakan rumput. "Kau tak sedih pun aku nak pergi. Tak apa, aku tak beli jajan kat kau nanti". Ahmad berseloroh dengan kerbau kesayangannya.
Pinggg!! Pinnggggggg!!!
Kelihatan sebuah kereta Perodua Axia berwarna merah sampai di halaman rumah Ahmad. "Siapa pula ni, awal betul pukul 8 pagi dah sampai". Fikir Ahmad sejenak. Tak lama kemudian, pintu kereta dibuka. Keluar seorang lelaki berkaca mata. Kurus sahaja orangnya. Tinggi lebih kurang 165 cm. "Morning Mad! Lama dah tak jumpa kau! Makin sihat nampak", sapa Chong kepada Ahmad yang sedang mengusap kerbaunya. "Haiiyaaa! Kau Chong. Morning! Makin hensem dah sekarang. Hahaha". Balas Ahmad kepada Chong. Banyak benda dan cerita yang mereka bualkan. Maklumlah sudah dua tahun tidak berjumpa. Belum lagi berjumpa dengan sahabat-sahabatnya yang lain. Pasti makin meriah. "Dulu aku tengok kerbau kau ni kecil je, sekarang dah besar lori aku tengok. Dia makan ayam ke setiap hari? Hahaha", gurau Chong. "Kalau makin mengecil si Roi ni, dah lama aku jual. Hahaha." Seloroh Ahmad.
Dalam rancak mereka berbual, tepat jam 8:30 pagi, tiba sebuah lagi kereta. Toyota Vios berwarna silver. Mereka dapat menduga itu pasti Arissa dan Ching. Arissa dan Ching memang kebiasaannya akan naik kereta bersama jika ke mana-mana. Lalu terbuka sebelah pintu kereta. Chong bertanya kepada Ahmad, "Kenapa hanya sebelah sahaja pintu dibuka? Kalau dua orang, pasti dua pintu terbuka kan?" Setelah menunggu akhirnya keluar seorang jejaka tinggi lampai dan sedikit gempal. Rupa-rupanya...
"Heiiiii Rameshhhhhh.... Kau cakap tak dapat datang", sapa Chong dengan nada sedikit sebak. "Kau prank kami eh?" Tanya Ahmad yang juga sebak kerana tak menyangka Ramesh turut datang sertai pengembaraan mereka. "Ma dan Pa aku tak jadi pergi konvokesyen adik aku tu, U dia buat konvo online je. Jadi aku minta izin Pa aku nak join korang lah. Hahaha." Terang Ramesh sambil senyum gembira. Mungkin dia pun merindui dua orang sahabatnya itu. Mereka bertiga ini digelar Do, Re dan Mi oleh guru-guru dan kawan-kawan lain pada waktu persekolahan dahulu. Ke mana-mana pasti selalu bertiga. Sampai ke tandas pun bertiga! Balik sekolah bersama, pulang pun bersama. Perpisahan selama dua tahun dan bertemu kembali pasti menggamit kembali kenangan-kenangan lama. "Jom duduk kat bawah pondok aku dulu, letih juga berdiri kat sini. Dan kejang kaki aku ni", sapa Ahmad. "Dah tukar kereta lain nampak, dulu pakai Kancil turbo je. Hahaha", Chong membuka perbualan di bawah pondok usang itu. "Kereta ayah aku je tu, aku masih lagi miskin macam dulu", jawab Ramesh sambil ketawa lepas. Ahmad dan Chong pun turut ketawa memecah kesunyian pagi itu.
Jam 8:55 pagi, ketibaan dua orang puteri ke perkarangan rumah Ahmad. Arissa dan Ching. Menaiki Honda Wave berwarna oren. Tidak pelik jika dua orang ini menaiki motosikal sahaja untuk ke rumah Ahmad, kerana jarak rumah mereka ke kampung Ahmad hanyalah 15 minit sahaja. "Perghhhh. Lama tak jumpa dah naik Honda sekarang!", Ahmad mengusik Arissa yang baru sahaja turun dari motosikal miliknya. "Okaylah tu daripada naik Roi" jawab Arissa dengan jelingan. Semua yang berada di situ ketawa terbahak-bahak mendengar jawapan balasan Arissa. "Hahaha, kau masih tak berubah ya Arissa. Sama sahaja perangai dari dulu. Tetap kelakar", kata Chong yang tengah bersandar di tiang pondok. "Hai korang semua, maaf lah lambat sikit. Biasa lah perempuan. Mackup sikit. Pilih-pilih baju dulu", jelas Ching sambil meletakkan helmetnya di dalam bakul hadapan motosikal.
"Korang parking kereta dan motor kat bawah garaj tu je nanti, nanti adik aku tolong tengok-tengokkan semasa kita di sana", arah Ahmad kepada sahabat-sahabatnya yang masih rancak berbual perihal diri masing-masing. Usai parking kenderaan masing-masing, mereka mengeluarkan semua barang-barang persiapan milik peribadi. Ahmad mengambil kunci kereta Proton Exora milik ibunya dan membuka bonet kereta. Dia mendapat keizinan ibunya untuk meminjam kereta kerana hari Sabtu dan Ahad, ibunya cuti sebagai guru sekolah rendah di kampungnya. "Korang masukkan dulu barang-barang kat dalam kereta tu, kalau tak muat tinggal je kat rumah aku ni. Lebih-lebih lagi beg Arissa tu, besar semacam je aku tengok. Kau bawa teddy bear ke Arissa?", arah Ahmar sinis sambil mengusik Arissa yang sedang memeriksa barangan di dalam beg galasnya. "Aku bawak pintu sesuka hati je ni. Nanti senang kalau rindu rumah, aku balik macam tu je", balas Arissa dengan muka selamba walau semua orang di sekelilingnya ketawa tak ingat dunia. Begitulah bila dua orang ini bertemu. Bagai Tom dan Jerry, ada sahaja perkara yang ingin dibawa bergaduh dalam gurauan. Tanpa mereka berdua, tidak lengkaplah kumpulan 5 ini.
Selesai memasukkan semua barangan ke dalam bonet kereta, Ahmad mula memanaskan enjin kereta terlebih dahulu. Maklumlah perjalanan kali ini amat jauh. Dari selatan ke pantai timur tanah air. Membelah banjaran Titiwangsa. Sehari sebelum berlepas, dia sudah menelefon Ramesh bertanya apa yang berlu di periksa sebelum memulakan perjalanan jauh. Ramesh menerangkan supaya diperiksa minyak hitam, air coolant, angin tayar dan komponen-komponen asas lain. Ramesh memang pro mengenai kereta.
"Ayuh mulakan perjalanan kita!", Ahmad berkata dengan penuh semangat dan riak muka yang bermotivasi. Sepertinya sudah tidak sabar algi. "Sebelum bergerak, kita berdoa dulu ya mengikut kepercayaan masing-masing", pesan Ramesh kepada sahabat-sahabatnya yang lain. Ramesh yang sedikit matang dalam kalangan mereka berpesan kepada sahabat-sahabatnya yang lain. Mereka semua menadah tangan dan memohon keselamatan diri. Usai berdoa, Ahmad bersalam dengan kedua orang tuanya terlebih dahulu dan meminta agar didoakan perjalanan pergi dan balik mereka. "Hati-hati di dalam hutan sana, mulut kena jaga kita masuk tempat orang. Jangan cakap besar. Jalan dalam kumpulan. Ke mana-mana pastikan selalu berteman", pesan ayah Ahmad dengan nada serius. Maklumlah pesara askar. Kelima-lima sahabat yang berada di situ mengiakan apa yang dipesan oleh Pak Razak itu dan menyimpannya di dalam benak fikiran sebagai pesanan yang berguna.
Selesai sahaja mendengar pesanan dari ibu dan ayahnya, Ahmad masuk ke dalam kereta dan menggerakkan gear dari P ke D, semua menunjukkan riak muka yang penuh kegembiraan dan tidak sabar-sabar untuk berlepas. "Let's go!!!" Teriak Chong yang duduk di kerusi penumpang di sebelah Ahmad. Semua membalas serentak. Let's go!!!. Maka bermulalah pengembaraan 5 sekawan itu ke Tasik kenyir, Terengganu untuk menawan Melunak! Mereka menjangkakan perjalanan ini akan mengambil masa lima jam sahaja jika tiada sebarang masalah sepanjang perjalanan. Setelah tiga puluh minit perjalanan, tiba-tiba.
Booomm!! Bunyi datang dari belakang kereta. Kereta seperti hilang kawalan! Ahmad cuba mengawal stereng kereta. Kereta bergerak ke kanan dan kekiri dengan sendiri.
Apa yang sebenarnya berlaku? Adakah kegembiraan ini bertukar kepada kisah duka? Sama-sama nantikan di episod seterusnya!