“Boleh bayar sini?”
Alea menatap 2 pemuda tampan yang berjalan beriringan sambil membawa bakul berisi beberapa jenis barang.
Alea mengangguk sambil tersenyum manis. Wajahnya merona merah melihat isi bakul yang diserahkan oleh pemuda yang lebih tinggi.
4 set pakaian dalam wanita yang dihiasi renda dengan saiz yang berlainan dan 3 bungkus keropok Twisties.
“Kenapa? Ada yang salah kalau lelaki beli pakaian dalam wanita?” Tanya pemuda yang lebih tinggi dengan nada kasar.
“Eh… Tak salah encik.” Jawab Alea dengan cepat.
“Relax la bro, adik ni tak cakap apa pun.” Ejek pemuda yang satu lagi dengan tawa yang ditahan-tahan.
Pemuda yang lebih tinggi menjeling tajam.
‘Tak guna muka handsome tapi perangai macam bapa singa. Mesti bini kau kurus sebab selalu makan hati layan perangai buruk kau. Tapi apa kaitan kurus dengan makan hati? Orang gemuk pun ada yang makan hati. Astaga Alea, apa kau merepek ni!’
“Tak apa encik, saya dah biasa, ini kerja saya.” Ucap Alea lembut sambil melepaskan tag yang melekat pada pakaian dalam wanita tersebut lalu mengimbas bar code.
“Ni untuk wife saya, saya beli banyak size sebab lupa saiz dia.” Jelas pemuda yang lebih ramah sambil tersengih nakal.
“Huhhh... Itu pun kau nak cerita dengan b***k hingusan ni?” Terdengar kata-kata kasar dari pemuda yang satu lagi.
‘b***k hingusan kau kata aku! Kurang asam! Aku kalau dah kahwin, dah boleh lahirkan anak tau!’ Alea tersenyum pahit.
“Jangan ambil hati dik, sepupu saya ni memang macam tu. Muka saja handsome tapi mulut macam longkang, celupar. Sebab tu sampai sekarang single, tak ada orang nak dekat dia. Umur dah 28, tapi perangai macam b***k-b***k, biasalah anak bongsu kuat merajuk, manja.”
Alea ketawa mendengar kata-kata gurauan pemuda di hadapannya. ‘See… Sepupu dia sendiri yang cakap mulut dia macam longkang. Dia single!? Ah… Orang perangai macam tu memang patut single, siapa nak jadikan dia suami? Buat sakit hati!’
“Cash or card?” Tanya Alea selepas menghentikan tawanya.
“Card.” Jawab pemuda mulut longkang tersebut sambil menyerahkan kad kepada Alea.
Alea meneruskan tugasnya lalu menyerahkan semula kad tersebut kepada pemuda bermulut longkang. “Terima kasih.” Ucap Alea tulus.
“Hmm.” Balas pemuda itu lalu berjalan meninggalkan kaunter.
“Sama-sama, jangan simpan dalam hati dik. Hormon sepupu saya tak stabil, mungkin dia tengah datang bulan!”
Alea mengangguk sambil tersenyum melihat kedua pemuda itu berjalan keluar dari supermarket tersebut. “Ya Tuhan, aku mohon agar dijauhkan dari suami yang bermulut longkang macam pemuda tadi.’
Selepas menutup kaunter dan menyerahkan drawer cash kepada supervisornya, Alea berjalan menuju ke food arena lalu duduk di sebuah gerai yang menjual nasi lemak. Dia sering mengisi perut di gerai tersebut kerana harga yang lebih murah berbanding gerai-gerai lain. Sementara menunggu pesanannya, Alea memerhatikan menu makanan yang terpampang di setiap gerai. Kelihatan sedap namun melihat harga setiap makanan, Alea hanya mampu menelan liur.
“Terima kasih kak.” Ucap Alea sambil menyerahkan duit kepada pemilik gerai. Alea mengunyah nasi lemak yang dihidangkan dengan lahap, seharian ini dia hanya mengisi perut dengan air kosong. Kalau bukan kerana sedang datang bulan, sudah pasti dia akan berpuasa, selain dapat menjimatkan kos perbelanjaan, boleh dapat pahala.
Selepas menghabiskan makanannya, dia bergegas menuju ke perhentian bas untuk kembali ke hostel. Tanpa dia sedar, seseorang sedang memerhatikan tingkahnya.
*
Kak Esah,
Assalamualaikum, Alea dah ada depan rumah.
Okay, kejap akak keluar.
Tidak lama menunggu, pintu pagar kecil di rumah besar yang tersergam indah pun terbuka. Muncul Kak Esah dengan menjinjing beg yang agak besar.
“Terima kasih Lea sebab tolong akak. Tuan dan Puan tak ada, mereka pergi Jepun 3 hari lepas, esok subuh baru balik. Tapi mereka dah tau Lea yang gantikan akak. Sementara tunggu puan sampai, Lea tolong bersihkan apa yang patut. Kalau nak makan, masak apa yang ada dalam peti sejuk.”
“Okay kak, Lea faham.”
Kak Esah mengangkat begnya lalu berjalan masuk ke dalam teksi yang sedang menunggunya. “Jangan lupa kunci pintu!”
Alea tersenyum mendengar suara Kak Esah berteriak sebelum teksi itu bergerak meninggalkan perkarangan rumah besar tersebut.
Alea bernyanyi kecil melangkah masuk ke dalam rumah. Hiasan moden klasik yang menghiasi rumah tersebut membuatkan Alea kagum dengan citarasa Puan Saodah. Seketika, terbit rasa cemburu di hati Alea, membandingkan dirinya dengan apa yang dimiliki orang lain.
Alea menggeleng kepala menginsafi pemikiran tidak masuk akalnya. Dia mula membersihkan ruang tamu dan dapur sambil bernyanyi kecil. Sesekali dia melabuhkan punggungnya di kerusi empuk yang terletak berhampiran tingkap untuk menghilangkan penatnya.
Jam di dinding menunjukkan sudah pukul 4 petang. ‘Errghhhh… Penat!’
Selepas membersihkan diri, Alea merebahkan tubuhnya di katil empuk Kak Esah. Dia berniat merehatkan tubuhnya sebelum menyediakan makan malam untuk dirinya sendiri.
*
Kak Long,
Baby, umi pesan datang rumah esok pagi. Umi nak brunch sama-sama.
Kak long…please don’t call me that!
Hahahaaaa… Fine! Tapi Esok mesti datang, dah berapa bulan kau tak balik rumah umi. Kalau ya pun putus cinta, takkan sampai tak nak balik.
Mana ada putus!
Wek! Pijan dah cerita dengan Kak Long.
Whatever! Inas nak balik, jumpa esok. Bye
Bye baby!
Inas memasukkan handphone nya ke dalam saku seluarnya. Dia melangkah keluar dari pejabat menuju ke parking area yang dikhaskan untuk eksekutif. Sudah 2 tahun dia bekerja di syarikat abinya memandangakan kakak dan abangnya menolak untuk bekerja di syarikat keluarga mereka.
Kakaknya memilih untuk menjadi pensyarah di sebuah universiti selepas menikahi pensyarahnya sendiri, manakala abangnya lebih suka menghabiskan masa di galeri lukisannya. Umi dan abi tidak pernah menghalang minat mereka.
‘Esok cuti, baik aku tidur rumah umi malam ni, esok tak perlu sibuk-sibuk nak bangun awal pagi.’ Fikir Inas sambil memecut keretanya laju menuju ke rumah umi dan abinya.
Tit Tit Tit Tit Tit …
Inas melangkah masuk ke rumah uminya terus menuju ke biliknya yang berada di tingkat atas. Selepas membersihkan diri, dengan hanya mengenakan tuala separas lutut, Inas duduk di balkoni bilik sambil tangannya memegang handphone untuk menghubungi sepupunya.
Pijan Hafizan,
“Woiii… Kau di mana sekarang?”
“Aku baru nak keluar office, kenapa?”
“Aku di rumah umi ni, kau datang ambil aku lepas maghrib, aku nak makan McD. Jangan lambat!”
“Itu ajakan atau arahan atau paksaan?”
“Hahahahahaa… Semua di atas.”
“Pukul 7:45 aku sampai.”