Bab 1
Hari gilang-gemilang yang aku tunggu akhirnya menjelma juga setelah beberapa bulan mengambil masa untuk persiapan perkahwinan aku.
Ruang dan halaman rumah peninggalan arwah Ayah dihias cantik nan indah. Bunga ros warna putih, pink dan merah memenuhi setiap ruang dan sudut sebagai penyeri majlis untuk yang pertama dan yang terakhir hendaknya.
Di halaman rumah khemah dipasang segak. Kerusi dan meja sudah diatur rapi. Hidangan pun sudah disusun sempurna, mengiurkan deria rasa para tetamu yang mula berduyun-duyun datang.
Tiada sempurna sebuah kenduri tanpa iringan muzik dan tarian untuk hiburan saudara mara dan sahabat handai yang datang dari jauh dan dekat. Riuh rendah keadaan di rumah menandakan kemeriahan hari bahagia aku. Yang pasti semua mengukir senyuman kegembiraan. Diharap semua berpuas hati.
Manakala di dalam bilik pengantin, aku sudah dihias cantik serta baju pengantin berwarna putih sudah dipakaikan di tubuh langsing aku. Disaat aku menunggu untuk melangkah keluar dari bilik pengantin, rentak jantung aku semakin rancak bagaikan gendang dipalu bertalu-talu. Apabila teringat hanya tinggal beberapa jam aku bakal bergelar seorang isteri, akan mempunyai keluarga sendiri. Teringatkan Emak akan tinggal berseorangan setelah aku melangkah masuk ke dalam rumah suamiku.
'Mampukah Emak hidup mendiri tanpa aku di sisinya? Andainya... Ayah masih ada? Taklah Emak terlalu kesepian.' Arghhhh... airmata ini! Ku tahan lagi. Kenapa dalam debaran kegembiraan terselit rasa kehampaan bersulam kepiluan mengoyak tangkai hati?
'Oh, Ayah... betapa aku merindui terutama sekali pada saat ini. Pasti ayah akan gembira meraikan hari kebahagiaanku dan tidak akan terlalu sepi tanpa Ayah menemaniku. Alangkah bagus kalau waktu boleh diputarkan semula, sudah pasti Ayah bersama aku dan Emak pada ketika ini.'
Siapalah aku untuk menyangkal ketentuan dari yang maha Esa? Walau sepahit mana akan aku cuba, untuk menyusun langkah menghala ke Altar.
'Ayah... Kalaulah Ayah ada sudah pasti akan lebih bermakna senyuman gembira pada wajah aku. Aku dambakanmu menjadi saksi pernikahanku. Ayah aku dambakanmu memimpin aku menuju ke Altar lalu menyerahkan tanggungjawab Ayah kepada bakal suamiku...'
Arghhh! Kenapa hati ini begitu menginginkan Ayah pada ketika aku sepatutnya mengukirkan senyum sampai ke telinga? Manik-manik mutiara mengalir juga, membasahi pipi mulusku. Sepatutnya bulir-bulir tersebut menandakan saat bahagia aku pada ketika ini, tetapi... ia hadir kerana kerinduan terhadap Ayah yang tercinta.
'Maafkan aku Ayah, kerana masih tidak mampu mengusir kenangan masa lalu kita. Maafkan aku Ayah, kerana masih belum mampu melupakan. Walaupun sudah sekian lama pemergian tanpa badan di bawah batu nisan. Maafkan aku Ayah, kerana terlalu menginginkan kehadiran Ayah pada saat ini... Ya, Tuhan! Bantulah aku dalam mencari keredhaanMu.'
Alis mata yang sudah disolek menjadi comot kehitaman, hidung aku sudah memerah bersama lelehan bendalir hingus... Aku menanggis teresak-esak untuk melempiaskan rasa terkilan tanpa kehadiran seorang Ayah disisiku. Aku rebah pada julung kali, diruntun rasa keinginan yang begitu kuat...Ya. Aku perlukan Ayah!
Sedu sedanku menggamit perhatian pengapit-pengapit pengantin yang sama sudah berhias cantik seperti aku.
"Lynn... kenapa menanggis macam ni? Kan dah rosak make up tu." Stephanie sepupu aku yang memerangkap sebagai pengapit pengantin menegur aku sambil mengelus lembut belakang aku. Kemungkinan besar dia bersimpati dengan nasib anak yatim, yang begitu memerlukan kehadiran seorang Ayah.
Manakala, Jesselyn adik kepada Stephanie tidak putus-putus menghulurkan tisu muka kepada aku. Mimik mukanya sayu menyimpan tangisan dalam sanubari.
"Sudah lah tu, Lynn. Hari ini hari bahagia kamu, tak nak la nanggis macam ni. Yang sudah pergi kita biarkan dia pergi dengan tenang." Jesselyn bersuara lirih menenangkan keadaan aku yang masih teresak-esak teringatkan Ayah. Salahkah kalau aku terlalu mendambakan kehadirannya pada saat ini? Pada saat aku bergelar sebagai seorang isteri...
Tergeleng-geleng aku menggogoi kesedihan, mana mungkin mereka mengetahui apa yang terpendam di lubuk hati aku selama ini. Dua tahun lepas aku mendapat topi empat segi dari Universiti Malaya tanpa kehadiran Ayah tidak aku rasai sangat. Hari ini aku kalah kerana aku perlukan dia untuk melangkah ke Altar.
"Beruntunglah kamu berdua yang masih mempunyai seorang ayah. Yang masih mampu memimpin kamu berdua menghala ke Altar. Tetapi... aku sudah kehilangan Ayah dari kecil lagi. Bahkan sekarang aku memerlukan ehsan daripada Ayah kamu pula Steph, Jesse. Aku... menumpang kasih daripada dia selama ini." Semakin kuat pula ratapan aku sambil meluahkan kesedihan yang sedang melanda hati. Semoga mereka boleh mengerti gelodak perasaan aku selama ini.
Kami berpelukkan, bersama-sama menangisi kekurangan aku. Sesungguhnya Ayah tidak pernah hilang dari ingatan aku. Akan aku himpun kekuatan untuk melangkahkan kaki ini bersama kenangan indahmu...
"Steph, tolong kemaskan make up aku semula. Dah comot sangat ni. Apa kata Aidan nanti, bila tengok saya macam ni? Pengantin comot?" Aku berseloroh melindungi kesedihan yang masih merantai hati.
Kelang kelibut pula keadaan kami bertiga apabila Stephanie dan Jesselyn memulakan tugas mendandan aku semula. Nasib baik mereka berdua cekap dalam bab-bab menyolek orang, kalau tidak macam Mak Lampir lah muka aku.