“What!!! No… Aku tak buat apa-apa pun dengan b***k tu!”
Lamunan Alea hilang mendengar suara keras pemuda yang bernama Inas. Alea menatap kedua-dua lelaki tersebut dengan penuh tanda tanya.
“Kau gila?” Wajah Inas kelihatan merah akibat marah.
“Kalau kau tak setuju aku tak paksa, tapi fikir pasal abi dan umi. Kau nak cakap apa kalau abi dan umi tau kau kena tangkap khalwat!” Ujar Hafizan dengan tegas. Dia tahu hanya itu cara yang boleh dilakukan agar isu ini tidak berpanjangan.
Inas menarik rambutnya ke belakang. Memikirkan apa yang dikatakan oleh sepupunya itu. Dia menoleh ke arah gadis yang duduk dengan wajah bingung. Pandangan mata mereka bertemu. Dia menghembus nafas kasar kerana kesal.
“Ehemmm… Kalau kau tak ada cadangan lain, aku anggap kau setuju dengan cadangan aku, nikah malam ni juga.”
Alea dan Inas tersentak mendengar kata-kata Hafizan. Hafizan duduk di sisi Alea sambil matanya melirik ke arah 5 lelaki berkopiah yang masih setia berdiri di hadapan pintu.
“Siapa nama kau?” Tanya Hafizan menatap wajah pucat gadis di hadapannya.
“Lily Alea. Macam mana ni, Lea tak nak masuk lokap. Lea tak buat apa-apa pun dengan encik ni. Lea datang sini sebab ganti Kak Esah. Lea tak buat apa-apa.” Luah Alea dengan suara terketar-ketar.
“Begini Alea, mereka terima aduan kamu sedang berkhalwat dengan Inas. Abang dah minta mereka untuk tidak mengheret kamu ke balai polis sebab kalau sampai kes polis, isu ni akan jadi bertambah besar. Abang tak nak abi dan umi Inas tau masalah ni, tapi…” Hafizan menatap Inas dan Alea silih ganti.
“Tapi mereka minta kamu menikah agar tidak timbul fitnah di kalangan penghuni taman ini.” Jelas Hafizan lembut.
Alea tercegat mendengar kata-kata pemuda itu. Dia menggeleng laju. “Kenapa perlu menikah? Kami tak buat apa-apa!”
“Abang tau Alea dan Inas tak buat apa-apa, tapi mereka hanya menjalankan tugas berdasarkan aduan yang diterima. Selepas isu ni selesai, Alea dan Inas boleh berpisah kalau tak nak bersama. Tapi kalau nak teruskan pun tak ada masalah. Abang janji akan merahsiakan perkara ini dari sesiapa termasuk abi, umi dan Kak Esah.” Pujuk Hafizan lagi.
Alea terdiam tidak tahu apa yang boleh dikatakan saat ini.
“Tapi kita kena bagitau wali Alea.”
“Apa?” Alea memicit dahinya kuat.
*
Jam menunjukkan sudah pukul 9 malam. Alea duduk bersendirian di counter bar dapur menunggu kedatangan abangnya. Sebentar tadi dia membiarkan Hafizan yang menjelaskan kepada abangnya kerana mulutnya seperti dikunci kerana terlalu takut.
Hatinya berdebar bukan kepalang mendengar pintu diketuk kuat. Alea belari masuk ke dapur. Bersembunyi? Entah, dia sendiri tidak pasti kerana terlalu takut dengan abangnya. Alea bersandar di tepi peti sejuk saat mendengar bunyi tapak kaki yang menuju ke dapur. Dia mengetap bibirnya kuat melihat abangnya berjalan laju ke arahnya. Inas dan Hafizan turut berjalan tidak jauh di belakang abangnya.
Plak!
Seperti sudah dapat mengagak tindakan tersebut, Alea memegang kuat pada peti sejuk agar tubuhnya tidak melayang. Dia mengetap bibirnya kuat menahan tangis dan menundukkan wajahnya. Wajahnya dirasakan panas, telingannya berdengung akibat tamparan kuat yang diterima dari abangnya. Sakit. Malu. ‘Ibu…’ Rintih Alea di dalam hati.
Inas dan Hafizan terbelalak melihat pemuda yang juga abang kepada gadis itu menampar Alea dengan kuat.
Hafizan berlari menghampiri Alea, khuatir sekiranya pemuda itu memukul gadis itu sekali lagi. “Ehhh..bro, sabar. Alea tak salah.”
Latif menjeling tajam ke arah Inas dan Hafizan. “Mulakan majlis tu cepat, aku nak balik. Menyusahkan!” Selesai mengatakan itu, Latif berjalan laju ke ruang tamu lalu duduk di samping jurunikah.
Hafizan memandang Inas lalu menghembus nafas panjang. Dia menoleh seketika melihat Alea yang masih berdiri dengan kepala tertunduk.
Selepas menandatangani beberapa dokumen pengesahan, majlis akad nikah pun dimulakan.
“Aku nikahkan kamu dengan adikku Lily Alea binti Adnan dengan mas kahwinnya 100 ringgit tunai.”
“Aku terima akan nikahnya Lily Alea binti Adnan dengan mas kahwinnya 100 ringgit tunai.”
“Sah… Sah…Sah…”
Dengan sekali lafaz Inas telah sah menjadi suami seorang gadis yang tidak dikenalinya. Dia menatap sepupunya seakan-akan ingin bertanya jika tindakan mereka itu betul. Hafizan tersenyum lalu menepuk bahu Inas beberapa kali.
“Dah boleh malam pertama.” Bisik Hafizan di telinga Inas.
Inas menjegilkan matanya mendengar bisikan nakal sepupunya. Dia berjalan menuju ke pintu menghantar tamu mereka. Diliriknya abang Alea yang turut bersalaman dengan beberapa orang pemuda berkopiah tadi.
Inas berniat untuk menghampiri abang Alea, namun pemuda itu berjalan laju meninggalkan perkarangan rumah. Inas mengerutkan kening, hairan melihat hubungan adik abang tersebut.
Alea mengurungkan dirinya di bilik Kak Esah. Air matanya tidak berhenti mengalir. Fikirannya benar-benar kusut saat ini. Dituduh berkhalwat. Dipaksa menikah dengan lelaki yang tidak dikenali. Ditampar abang sendiri. ‘Cukup! Aku dah tak sanggup nak hadap semua ni!’
Tok tok tok!
“Alea, tolong keluar sekejap, abang ada benda nak cakap dengan Alea.” Panggil Hafizan lembut.
Alea menarik nafas panjang, membersihkan wajahnya lalu keluar menghadap dua pemuda tersebut. Dia tidak ingin mengharapkan apa-apa dari ‘suaminya’ itu. Di fikirannya hanya ingin keluar dari rumah besar tersebut.
“Pipi Alea sakit?” Tanya Hafizan sambil memerhatikan sudut bibir gadis itu yang terluka akibat tamparan kuat abangnya sendiri.
Alea menggeleng. Kepalanya ditundukkan enggan menatap kedua pemuda yang kini duduk di hadapannya.
“Inas ada benda nak cakap dengan Alea, abang tunggu di luar okay.” Ujar Hafizan. Inas yang duduk di sebelahnya terkejut mendengar kata-kata sepupunya itu.
“Aku mana ada benda nak cakap dengan dia! Jan, kau jangan tinggalkan aku berdua dengan dia!” Bisik Inas dengan suara yang ditekan-tekan kerana geram.
“Kau takut berdua-duaan dengan dia?” Tanya Hafizan mengangkat kedua-dua kening, sengaja mengusik sepupu manjanya.
“Bukan takut, aku tak selesa!”
“Aku bagi kau peluang untuk buat keputusan sendiri, pastikan kau tak menyesal dengan keputusan yang kau ambil.” Pesan Hafizan lalu melangkah keluar meninggalkan Inas dan Alea.
Jauh di sudut hatinya berharap agak Inas dapat menerima Alea sebagai isteri. Dia kasihan melihat gadis muda itu bekerja sebagai pembantu rumah. Hati lelakinya terasa seperti dihiris pisau melihat gadis itu ditampar oleh abang kandungnya sendiri.
“Ehemm. Kau ada apa-apa nak cakap?” Tanya Inas datar, matanya menangkap luka di sudut bibir gadis itu.
Alea masih tunduk, menggelengkan kepalanya.
“Ini duit mas kahwin.” Inas menghulurkan duit sebanyak 100 ringgit kepada Alea.
Alea mengangguk menerima duit mas kahwin tersebut. Digenggamnya dengan erat.
“Nanti bagi aku nombor akaun bank kau. Aku nak transfer duit.”
Alea menggeleng menolak. “Tak perlu.”
Inas menghembus nafas keras. Malas untuk berdebat.
“Aku akan siasat siapa yang buat aduan sampai kita terpaksa menikah.” Ucap Inas tegas, rahangnya mengeras memikirkan hal tersebut.
Keduanya membisu seribu bahasa, suasana menjadi semakin canggung. Masing-masing tenggelam di dalam fikiran sendiri.
“Aku dah ada girlfriend dan aku sayang dia. Aku harap kau faham.” Luah Inas laju. Sedikit rasa bersalah timbul di hatinya kerana membohongi gadis di hadapannya.
Alea mengangguk dan tersenyum pahit mendengar pengakuan suami sesaatnya. Sebentar tadi hati kecilnya masih menyimpan setitik harapan agar pemuda itu dapat menerima dirinya sebagai isteri yang sah. Namun kini harapan itu dibuang jauh-jauh. Dia menggigit bibir bawahnya kuat, menyembunyikan perasaannya saat ini. ‘Sedar diri Alea!’
“Saya faham. Maaf.” Ucap Alea lembut lalu berdiri meninggalkan Inas yang masih duduk kebingungan di sofa. Alea berjalan menuju ke dapur, dengan cepat dia menyediakan 2 cawan coklat panas lalu dihidangkan di counter bar.
Setelah itu Alea masuk ke dalam bilik Kak Esah mengambil beg galasnya lalu keluar semula. Dia berjalan laju tanpa menoleh, meninggalkan rumah besar itu. Air matanya menitis tidak dapat dibendung lagi. Sesekali bibirnya bergerak menyebut nama suaminya dengan tangisan sayu. Syafi Inas Abdul Rahman.